Salam Ukhwah
Wednesday, May 26, 2010
Tuesday, May 18, 2010
DAHI CECAH KE SEJADAH
Dahi Cecah Ke Sejadah
Untuk Tazkirah minggu kali ini, USTAZAH ingin mengajak pembaca merenung apa yang tersurat dan tersirat disebalik nukilan berikut:
TERTAWA DI DUNIA MENANGIS DI AKHIRAT
Tertawa Di Dunia Menangis Di Akhirat
Dalam satu hadith, Nabi saw bersabda ; "Banyak tertawa dan tergelak-gelak itu mematikan hati".
Banyak tertawa menjadikan hati semakin malap dan tidak berseri. Lampu hati tidak bersinar dan akhirnya terus tidak menyala. Hati tidak berfungsi lagi.
Nabi Muhammad melarang ummatnya dari gelak-ketawa yang melampaui batas. Menurut hadith, banyak ketawa menghilangkan akal dan ilmu. Barangsiapa ketawa tergelak-gelak, akan hilang satu pintu daripada pintu ilmu.
Kenapa dilarang ketawa berdekah-dekah? Dalam keadaan suka yang keterlaluan, hati kita lalai dan lupa suasana akhirat dan alam barzakh yang bakal kita tempuhi kelak. Sedangkan dahsyatnya alam tersebut tidak dapat dinukilkan dalam sebarang bentuk media. Kita sedang menuju ke satu destinasi yang belum tentu menjanjikan kebahagiaan abadi.Sepatutnya kita berfikir bagaimana kedudukan kita di sana nanti, sama ada berbahagia atau menderita. Berbahagia di dunia bersifat sementara tetapi di akhirat berpanjangan tanpa ada penghujungnya. Penderitaan di dunia hanya seketikatetapi di akhirat azab yang berterusan dan berkekalan. Merenung dan memikirkan keadaan ini cukup untuk kita menghisab diri serta menyedarkan diri kita tentang bahaya yang akan ditempuh.
"Tertawa-tawa di masjid menggelapkan suasana kubur". Demikian ditegaskan oleh Nabi saw. Kita sedia maklum, kubur ialah rumah yang bakal kita duduki dalam tempoh yang panjang. Kita keseorangan dan kesunyian tanpa teman dan keluarga. Kubur adalah satu pintu ke syurga atau ianya satu pintu ke neraka. Betapa dalam kegelapan di sana, kita digelapkan lagi dengan sikap kita yang suka terbahak-bahak di dunia.
Ketawa yang melampaui batas menjadikan kita kurang berilmu. Apabila kurang ilmu, akal turun menjadi kurang. Kepekaan terhadap akhirat juga menurun. Nabi saw pernah bersabda: "Barangsiapa tertawa-tawa nescaya melaknat akan dia oleh Allah (Al-Jabbar). Mereka yang banyak tertawa di dunia nescaya banyak menangis di akhirat."
Saidina Ali sentiasa mengeluh '....jauhnya perjalanan ... sedikitnya bekalan ....' Walaupun hebat zuhud dan ibadat beliau, namun merasakan masih kurang lagi amalannya. Betapa kita yang kerdil dan malas beribadat ini sanggup bergembira 24 jam.
Dalam hadith lain, Nabi saw bersabda "Barangsiapa banyak tertawa-tawa, nescaya meringankan oleh api neraka."Maksudnya mudah dimasukkan ke dalam neraka.
Kita tidak pula dilarang menunjukkan perasaan suka terhadap sesuatu. Cuma yang dilarang ialah berterusan gembira dengan ketawa yang berlebihan. Sebaik-baik cara bergembira ialah seperti yang dicontohkan oleh Nabi saw. Baginda tidak terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum menampakkan gigi tanpa bersuara kuat.
Para sahabat pernah berkata "Ketawa segala nabi ialah tersenyum, tetapi ketawa syaitan itu tergelak-gelak."
SELAMAT HARI GURU 2010
Semoga Jasa Kami Tetap Di Kenang Sepanjang Hayat
Sepuntung Dian, Serangkai Intan…
Profesi ini…
Tetaplah terus menjadi inspirasi,
digemari dan diminati
meski di hadapan ternanti…
aneka cabaran yang menguji,
barangkali juga bertali-tali
menuntut ketulusan hati
agar segalanya nanti
berharga di sisi Ilahi
Semoga DIA akan membalasi… dengan ganjaran yang tinggi.Profesi ini…
tetaplah terus disanjung dan dihargai
kerana kita mengerti
bahawa jasa, pengorbanan dan bakti
yang telah mereka taburi
banyaknya tiada terperi
bukan ringgit warisan budi
membentuk warisan generasi
agar segak berdiri… dihiasi sahsiah dan jati diri.Profesi ini…
tetaplah terus disayangi, dicintai dan dikasihi
kerana kita sebenarnya mengakui
merekalah yang banyak memberi
sedangkan sedikit dibalasi
mereka juga sering dilibati
jika krisis moral generasi
semakin menjadi-jadi
sedangkan senario terkini
yang disebut globalisasi
banyak mencorak mempengaruhi
menyumbang nilai-nilai tidak murni
justeru kita juga harus fahami
dan bersama mengawasi
kerana tugas ini… tanggungjawab setiap diri.Profesi ini…
Tetaplah terus dikagumi dan dihormati
kerana kita menyedari
hakikatnya mereka adalah nadi
di dalam tubuh pertiwi
menjana bangsa bermula dari umbi
kerana…
bukankan sebelum mencecahkan kaki ke tangga universiti
atau berpenat meraih rezeki
awalnya perlu dahulu mengenal A, B, C
atau alif, ba, ta, – huruf-huruf jawi
perlu pandai mengira, mencampur, darab, tolak dan bahagi
di samping tidak melupai
didikan berakhlak terpuji
membentuk peribadi berbudi pekerti
kerana…
walaupun tamadun melangit tinggi
andai akhlak menyapu bumi
sedikit pun tidak beertiProfesi ini…
tetaplah terus dibanggai dan disyukuri
hingga tersemai keinsafan di dalam hati
bahawa mereka yang berada di bidang ini
sungguh beruntung sekali
ilmu dan tunjuk ajar diberi
semoga menjadi jariah selepas mati
bukankah di sana nanti
segala-galanya tidak berguna lagi
selain iman dan amal bakti……..Sesungguhnya bukan sebarang jasa…
Seorang Insan bergelar GURU16 Mei 2010
Tuesday, May 11, 2010
SELAMAT HARI IBU
REDHOMU KE SYURGA
Kurenung wajah itu
Lesu pucat tak bermaya
Semakin banyak garis-garis halus
Masih kuat bekerja
Wajah yang sentiasa dihati
Walau apa sekalipun terjadi.
Kupegang erat tangannya
Hangat seperti dulu
Keberkatan air tangannya
Mengasuh mendidik tanpa jemu
Merawat sakitku
Dari hari pertama dilahirkan
Hingga kini
Perjuangannya masih belum selesai.
Terima kasih mak!
Jasamu tidak mungkinku bayar
Walau dengan intan berlian bergunung
Kerana doamu
Pasti kerana izinNya
Aku mampu berdiri seperti sekarang.
Terima kasih ma!
Kerana melahirkan seorang anak yang soleh
Bertanggungjawab yang mendidik
Baik dan sabar
Suamiku yang penyayang.
Mak dan ma
Hari ibu bukan selayaknya bagimu
Kerana jasamu bukan untuk dikenang untuk sehari
Tetapi setiap saat dan detik
Bahkan dijunjung hingga keakhirnya
Redhomu membawa ke syurga!
MUHASABAH SOLAT
MONDAY, MAY 10, 2010
MUHASABAH SOLAT
Bila hati dan ‘seluruh’ diri difokuskan kepada solat, maka seorang muslim itu sebenarnya berada di dalam suatu perjalanan Rohaniyah yang sungguh hebat dan indah. Tiada yang terfikir lagi kala itu selain Allah SWT. Sepanjang 24 jam yang dilalui dalam sehari, tiada saat yang lebih indah dan manis buat dirinya melainkan saat dirinya tegak bermunajat di hadapan Allah SWT.
Saat solat berlangsung, dirinya dapat merasai,menemui dan mengecapi apa yang dikatakan hakikat keabadian. Rohnya amat merdeka saat dibawa mengembara jauh menuju keheningan dan kesyahduan Mikraj.
Allahh…., saat solat lima waktu itulah, jiwa muslim menjadi sebebas-bebasnya dari ‘kekangan’ dan ‘hambatan’ dunia yang tidak pernah sudah dan tidak pernah bernoktah melainkan saat Malakul Maut menzahirkan dirinya.
Saat berqiyam mengadap Qiblat, jiwa muslim menjadi amat tenang , minda dan tubuhnya terasa segar dan penuh kerehatan bahkan segala masalah dan bebanan hidupnya ‘lenyap’ dineutralkan saat dahi dan enam anggota sujudnya yang lain menyentuh bumi persis ‘wayar bumi’ yang berfungsi meneutralkan tekanan dan bebanan tenaga elektrik ‘yang berlebihan’ ke dalam bumi.
Sabda Rasulullah SAW: “Pusat kebahgiaanku dijadikan terletak pada (ibadah) solat.” (Riwayat Muslim).
Demikianlah nilai, kepentingan, harga dan kedudukan solat pada matahati dan pegangan hidup seorang muslim. Sudah terang lagi bersuluh.
Namun, apakah solat kita berlangsung sebagaimana digambarkan? Apakah solat kita selama ini benar-benar membuahkan ketenangan, kebahgiaan, kekuatan dan menghadirkan pertolongan? Apakah roh kita terasa benar-benar bahagia dibawa ‘mengembara’ ketika bersolat ataupun sebaliknya yakni rasa seakan ‘didera’? Apakah kita telah benar-benar menjiwai ‘makna-makna’ dan pengajaran tersirat yang terkandung di dalam kefarduan solat itu?
BELUM RASA KELAZATAN SOLAT
Ya, sehingga kini kita belum benar-benar dapat merasai semua ‘keindahan’ cetusan solat itu. Lantaran apa ya? Ya, lantaran solat kita masih terasa berat. Masih dianggap berat. Solat-solat juga.., tapi jiwa kita rasa lesu dan tidak bersemangat melaksanakannya. Alasan itu tidaklah pelik dan boleh diterima kerana penjelasan Allah yang berikut.
KENAPA SOLAT TERASA BERAT?
Solat dianggap ‘berat’ dan terasa ‘payah’ kerana hati belum benar-benar khusyuk. Hati kita belum tunduk dan pasrah kepada Allah dalam ertikata yang sebenar-benarnya. Bila hati tak khusyuk, maka solat yang lima minit terasa bagai satu jam. Itulah jawapannya.
Firman Allah SWT: “..Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya ‘yang demikian’ itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” (Al Baqarah: 45).
Kerana itu, dalam melaksanakan solat, tajuk khusyuk menjadi terlalu penting. Bila orang mukmin dikatakan memelihara solat, maka sesungguhnya mereka bersungguh-sungguh memelihara solat lahir dan batinnya. Memelihara kekhusyukannya. Kerana menurut kefahaman mereka, bahagian solat yang dikira berpahala hanyalah bahagian yang disertai khusyuk padanya. Jika tidak, solat seseorang hanya tinggal pergerakan mekanistik yakni luarannya sahaja bagai jasad yang tidak bernyawa.