Salam Ukhwah

Harapanku ;
"...berharap agar sayapku boleh pergi jauh sehingga aku jumpa apa yang terbaik untukku dan agamaku..."

Tuesday, June 8, 2010

5 Martabat Iman

PANITIA PENDIDIKAN ISLAM



5 Tahap Iman Manusia

1. Iman Taqlid:

Iman ikut-ikut atau iman 'pak turut'. Orang yang beriman Taqlid, pegangan islamnya tidak kuat dan prinsip islamnya tidak kukuh. Dia tidak ada alasan yang kuat mengapa dia beriman. Dia ada dalil-dalil akal dan Al-Quran /As-Sunnah untuk membuktikan keyakinannya. Mengikut qaul yang lebih jelas, Iman Taqlid ini tidak sah. Segala amal ibadat orang yang beriman Taqlid adalah tertolak dan tidak mendapat pahala di sisi Allah S.W.T.

2. Iman Ilmu:

Iman berdasarkan ilmu. Iaitu seorang yang telah mempelajari tentang Allah, malaikat-malaikat, rasul-rasul dan nabi-nabi, kitab-kitab, hari Qiamat dan lain-lain yang diwajibkan mengimaninya. Iman dan keyakinannya berasa dan kuat bertunjang pada akal. Iqtikadnya disertai dengan dalil-dalil yang kuat serta pegangan yang kukuh. Dia tidak mudah goyang atau terpengaruh dengan ideologi lain. Tetapi orang yang beriman Ilmu, tidak takut akan Allah S.W.T. dan mudah berbuat derhaka kepadanya. Mereka juga hanya mampu memperkatakan islam, tetapi tidak mampu berbuat atau mengamalkannya. Jadi, Iman Ilmu belum lagi dapat menyelamatkan seseorang itu dari neraka Allah.

3. Iman `Ayyan:

Hasil daripada tarbiyah dan mujahadah yang bersungguh-sungguh orang yang beriman Ilmu akan meningkat kepada Iman `Ayyan. Imannya bertempat di hati, bukan lagi di fikiran. Hati orang-orang yang beriman `Ayyan sentiasa mengingati Allah, ibadahnya khusyuk dan ia sentiasa merasa kebesaran Allah S.W.T. apabila disebut nama Allah, gementar hatinya. Semua perintah Allah S.W.T. dipatuhi dengan penuh rela dan kesugguhan. Ia terlalu sensitif dengan dosa serta sangat berakhlak dengan Allah dan manusia. Setiap ujian dihadapi dengan penuh sabar. Ia juga sentiasa mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah S.W.T. Orang yang berada di peringkat Iman `Ayyan tidak lama dihisab di Akhirat dan iamudah masuk syurga.

4. Iman Haq:

Seseorang yang mencapai Iman Haq, mata hatinya melihat Allah S.W.T. Ertinya setiap kali melihat kejadian dan kebesaran Allah S.W.T., hati dan fikirannya tertumpu kepada Allah. Terasa takut dan hebat kepada Allah setiap masa. Hatinya tidak lekang mengingati Allah dan sentiasa karam serta khusyuk dalam kesyahduan cinta pada Rabb. Hatinya tidak terpaut dengan dunia dan ia tidak dapat dilalaikan oleh nafsu mahupun Iblis laknatullah. Mereka yang beriman Haq digelar Muqarrobin oleh Allah S.W.T., yakni orang yang hampir dengannya.

5. Iman Hakikat:

Inilah peringkat iman yang paling sempurna dan tertinggi yang dimiliki oleh rasul-rasul, nabi-nabi, khulafa' Ar-Rasyideen serta wali-wali Allah yang besar. Mereka akan ditempatkan oleh Allah S.W.T. di dalam syurga yang paling tinggi. Hidup mereka setiap masa asyik dengan ibadah. Ibadah mereka cukup hebat, solat sunat paling kurang 300 rakaat sehari semalam. Budi serta akhlak adalah yang terbaik dan paling terpuji. Allah S.W.T. akan menurunkan barakah di mana sahaja mereka berada. Mereka digelar golongan 'superscale' Akhirat. Hidup dalam syurga yang maha Indah lagi maha Lazat. Allah mengurniakan yang sedemikian itu sebagai membalas cinta dan pengorbanan hakiki yang cukup besar semata-mata kerana Allah!

Di manakah tahap keimanan kita? Sama-samalah kita sentiasa memuhasabah diri serta mempertingkatkan keimanan kita dengan mengerjakan amalan kebaikan dengan bersungguh-sungguh, iltizam dan istiqamah. Berbahagialah dengan berita gembira daripada Allah S.W.T. dalam Surah Ali-Imran, ayat 139 yang bermaksud:

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman."

No comments:

Post a Comment