Salam Ukhwah

Harapanku ;
"...berharap agar sayapku boleh pergi jauh sehingga aku jumpa apa yang terbaik untukku dan agamaku..."

Thursday, February 3, 2011

Ibnu Khaldun - Tokoh Sejarawan Ulung


PROFIL
GELARAN: Ibnu Khaldun.
TARIKH LAHIR: 732 Hijrah bersamaan 1332 Masihi.
TEMPAT LAHIR: Tunisia.
MENINGGAL DUNIA: 808 Hijrah bersamaan 1406 Masihi.

Ibn Khaldun atau nama sebenarnya Wali al-Din Abd al-Rahman bin Muhammad bin Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan lahir di Tunis pada 1 Ramadan 732H Keluarganya berasal daripada keturunan Arab Hadramaut yang pernah menetap di Serville, Italy, dan SepanyoL Akhirnya berpindah dan menetap di Afrika Utara semasa pemerintahan Hafs Abu Zakariyya, pemerintah Tunis pada waktu itu.

IBNU Khaldun mencetus pemikiran baru apabila menyatakan sistem sosial manusia berubah mengikut kemampuannya berfikir, keadaan muka bumi persekitaran mereka, pengaruh iklim, makanan, emosi serta jiwa manusia itu sendiri.

Beliau juga berpendapat institusi masyarakat berkembang mengikut tahapnya dengan tertib bermula dengan tahap primitif, pemilikan, diikuti tahap peradaban dan kemakmuran sebelum tahap kemunduran.

Pandangan Ibnu Khaldun dikagumi tokoh sejarah berketurunan Yahudi, Prof Emeritus Dr Bernerd Lewis yang menyifatkan tokoh ilmuwan itu sebagai ahli sejarah Arab yang hebat pada zaman pertengahan.

Felo Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Uthman El-Muhammady pula melihat pendekatan Ibnu Khaldun secara sejagat.

Sumbangan Ibu Khaldun, perintis ilmu sosiologi moden dapat disaksikan melalui siri Ilmuwan Islam di TV3, malam ini.

Episod kali ini yang diterbitkan Mohd Fasil Mohd Idris, bakal membawa penonton mengenali lebih dekat ilmuwan kelahiran Tunisia yang banyak menghasilkan karya untuk rujukan umat Islam dan bangsa lain masa kini.

Dilahirkan di Tunisia, keluarga Ibnu Khaldun sebenarnya berasal dari wilayah Seville, Sepanyol, ketika dalam pemerintahan Islam.

Ketika zaman kanak-kanak, beliau mempelajari al-Quran daripada orang tuanya sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi sambil dibantu sejarawan dan ulama Tunisia serta Sepanyol.

Pada 1375, beliau berhijrah ke Granada, Sepanyol kerana mahu melarikan diri daripada kerajaan di Afrika Utara.

Bagaimanapun, keadaan politik Granada tidak stabil, lantas mendorong beliau untuk merantau ke Aljazair (bahagian utara Semenanjung Tanah Arab). Di sini, beliau tinggal di kampung kecil iaitu Qalat Ibnu Salama.

Di situ juga beliau menghasilkan beberapa karya terkenal termasuk al Ibar Wa Diwan al-Mubtad Wa al-Khabar. Kitab ini mengandungi enam jilid dan paling terkenal, kitab Mukaddimah.

Sehingga kini kitab itu menjadi rujukan umat Islam, khususnya dalam ilmu kajian sosial, politik, falsafah dan sejarah.

Kitab Mukaddimah menghuraikan beberapa peristiwa dalam kehidupan masyarakat, proses pembentukan negara, faktor kemajuan serta kemunduran, selain menerangkan beberapa perkara yang berkaitan bidang perniagaan, perindustrian dan pertanian.

Karya Ibnu Khaldun yang menakjubkan itu membolehkan beliau digelar sebagai Prolegomena atau pengenalan kepada pelbagai ilmu perkembangan kehidupan manusia di kalangan ilmuwan Barat.

Dalam pada itu, Ibnu Khaldun mengutarakan pandangannya bagi memperbaiki kesilapan dalam kehidupan menjadikan karya beliau seumpama ensiklopedia yang mengisahkan pelbagai perkara dalam kehidupan sosial manusia.

Kajian yang dilakukan Ibnu Khaldun bukan hanya mencakupi kisah kehidupan masyarakat ketika itu, malah merangkumi sejarah umat terdahulu.

Selain sebagai ilmuwan dalam bidang sosial, Ibnu Khaldun, mampu mentadbir dengan baik apabila dilantik sebagai kadi ketika menetap di Mesir.

Kebijaksanaannya mendorong Sultan Burquq iaitu Sultan Mesir ketika itu memberi gelaran Waliyuddin kepada Ibnu Khaldun.

Ibnu Khaldun juga memajukan konsep ekonomi, perdagangan, kebebasan dan terkenal kerana hasil kerjanya dalam bidang sosiologi, astronomi, numerologi, kimia serta sejarah.

Beliau membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya daripada keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan dan menguruskan penghasilan wang.

Pemerintah juga melaksanakan kepemimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan.

Dari segi ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubung kaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan ke atas harga dan keuntungan.

Beliau turut menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Wacana atau pemikiran Ibnu Khaldun turut diterjemah ke dalam kehidupan masyarakat moden yang mahu mengimbangi pembangunan fizikal dan spiritual seperti Malaysia yang sedang menuju status negara maju.

Secara teorinya, ilmu itu dikaitkan dengan soal manusia dalam masyarakat dan ahli sosiologi berharap ilmu berkenan dapat menjalinkan perpaduan serta membentuk penawar kepada krisis moral yang dihadapi masyarakat hari ini.

Istilah sosiologi walaupun dicipta tokoh kelahiran Perancis abad ke-19, Aguste Comte, kajian mengenai kehidupan sosial manusia sudah dihurai oleh Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, 500 tahun lebih awal, pada usianya 36 tahun.

bn Khaldun

Ibn Khaldun secara umumnya diiktiraf sebagai pengasas dan bapa sosiologi dan sains sejarah. Beliau paling dikenali kerana Muqaddimah Ibn Khaldun (Pendahuluan Ibn Khaldun) beliau yang masyhur itu. ‘Abd al-Rahman ibn Muhammad, umumnya dikenali sebagai Ibn Khaldun sempena seorang leluhur yang jauh, dilahirkan di Tunis pada tahun 732H (1332M) dalam sebuah keluarga kelas atasan yang berhijrah dari Seville, al-Andalus (Sepanyol semasa dalam pemerintahan orang Islam). Leluhur beliau adalah Arab Yaman yang menetap di Sepanyol pada permulaan pemerintahan Islam dalam kurun ke-8.

Semasa tahun-tahun pembentukan beliau, Ibn Khaldun menyaksikan penglibatan aktif keluarga beliau dalam kehidupan intelektual Bandar, dan dalam skala yang lebih kecil, kehidupan politiknya. Beliau biasa dengan kunjungan kerap terhadap keluarga beliau daripada pemimpin-pemimpin politik dan intelek negara-negara Islam Barat (contohnya Afrika Utara dan Sepanyol), ramai antara mereka mencari perlindungan di sana. Ibn Khaldun menerima pendidikan di Tunis dan Fez, dan mempelajari al-Quran, hadith dan cabang-cabang pengajian Islam yang lain seperti ilmu kalam, shari’ah (fiqh undang-undang Islam menurut mazhab Maliki). Beliau juga mempelajari kesusasteraan Arab, falsafah, matematik dan astronomi. Ketika beliau masih remaja, beliau berkidmat dengan pemerintah Mesir, Sultan Barquq.

Ibn Khaldun menjalani kehidupan politik yang aktif sebelum beliau akhirnya berhenti untuk menulis karya besar beliau mengenai sejarah yang terkenal itu. Beliau bekerja untuk pemerintah-pemerintah di Tunis dan Fez (Morokko), Granada (al-Andalus) dan Biaja (Afrika Utara). Pada tahun 1375, Ibn Khaldun merentas ke al-Andalus (Granada) sebagai seorang yang letih dan kecewa hanya kerana mahu melepaskan diri daripada kekacauan di Afrika Utara. Malangnya, disebabkan sejarah politik beliau yang lalu, pemerintah Granada mengusir beliau. Beliau kemudian kembali ke Algeria dan menghabiskan empat tahun dalam pengasingan di Qalat Ibn Salamah, sebuah kampung kecil. Semasa di Qalatlah beliau menulis Muqaddimah, jilid pertama sejarah dunia beliau yang meletakkan beliau di tempat abadi di kalangan sejarawan, sosiologis dan ahli falsafah. Ketidaktentuan karier berterusan disebabkan rusuhan di Afrika Utara. Akhirnya, beliau menetap di Mesir yang beliau habiskan 24 tahun yang terakhir. Di sini, beliau hidup dalam keadaan terkenal dan dihormati, ditandai dengan pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim mazhab Maliki. Beliau juga memberi syarahan di Universiti al-Azhar.

Ibn Khaldun berpindah dari satu istana ke satu istana yang lain, kadang-kala atas kehendak beliau sendiri, tetapi selalunya dipaksa berbuat demikian oleh saingan-saingan yang merancangnya atau pemerintah-pemerintah yang zalim. Beliau mempelajari banyak daripada pertemuan beliau dengan para pemerintah, duta-duta, ahli-ahli politik dan para sarjana dari Afrika Utara, al-Andalus, Mesir dan bahagian-bahagian dunia Islam yang lain.

Ibn Khaldun paling masyhur dengan buku beliau Muqaddimah (Pendahuluan). Ia adalah masterpiece dalam kesusasteraan mengenai falsafah sejarah dan sosiologi. Tema utama dalam karya besar ini adalah untuk mengenali fakta-fakta psikologi, ekonomi, persekitaran dan sosial yang menyumbang kepada kemajuan tamadun manusia dan peristiwa-peristiwa semasa dalam sejarah. Beliau menganalisis daya gerak hubungan perkauman dan menunjukkan bagaimana rasa perkauman (syu’b al-‘asabiyyah) dapat menghasilkan kenaikan tamadun dan kuasa politik baru. Beliau mengenal pasti ulangan hampir berirama bagi kebangkitan dan kejatuhan dalam tamadun manusia, dan menganalisis faktor-faktor yang menyumbang kepadanya.

Pandangan-pandangan revolusi Ibn Khaldun telah menarik perhatian sarjana-sarjana Muslim dan juga ramai pemikir Barat. Dalam kajian sejarah beliau, Ibn Khaldun adalah peneroka dalam mensubjekkan laporan-laporan sejarah kepada dua kategori asas iaitu akal, dan undang-undang sosial dan fizikal. Beliau mengetengahkan empat perkara penting dalam kajian dan analisis laporan sejarah seperti berikut:

(1) mengaitkan peristiwa-peristiwa antara satu sama lain melalui sebab dan akibat
(2) membuat analogi antara masa lalu dan masa sekarang
(3) mengambil kira kesan persekitaran
(4) mengambil kira kesan keadaan yang diwarisi dan ekonomi

Ibn Khaldun menerokai kajian kritis terhadap sejarah. Beliau menyediakan kajian analisis mengenai tamadun manusia, permulaannya, faktor-faktor yang menyumbang kepada kemajuannya dan sebab-sebab kejatuhannya. Oleh itu, beliau telah mengasaskan satu sains baru: sains kemajuan sosial atau sosiologi, seperti mana yang kita panggil sekarang. Ibn Khaldun menulis: “Saya telah menulis sebuah buku mengenai sejarah yang dalamnya saya bincangkan sebab-sebab dan akibat-akibat kemajuan negara-negara dan tamadun-tamadun, dan saya mengikuti satu kaedah yang tidak lazim dalam menyusun material buku tersebut, dan saya mengikuti satu kaedah baru dan inovatif dalam menulisnya.” Dengan memilih kaedah analisis tertentu beliau itu, beliau telah mencipta dua sains baru: historiologi dan sosiologi serentak.

Ibn Khaldun berhujah bahawa sejarah tertakluk kepada undang-undang semesta dan menyatakan kriteria bagi fakta sejarah: “Peraturan bagi membezakan apa yang benar dan apa yang palsu dalam sejarah adalah berdasarkan kebolehjadian atau ketidak bolehjadiannya: iaitu saya katakan, kita mesti memeriksa masyarakat manusia dan membezakan antara sifat-sifat yang penting dan semulajadi dalam tabiinya dan apa yang secara kebetulan dan tidak perlu dilaporkan, mengenal pasti dengan lebih lanjut apa yang tidak mungkin dimilikinya. Jika kita melakukan ini, kita mempunyai satu peraturan untuk memisahkan fakta sejarah dari kesilapan dengan menggunakan kaedah-kaedah demonstratif yang tiada keraguan. Ia adalah kayu ukur sejati yang dengannya para sejarawan dapat mengesahkan apa sahaja yang mereka riwayatkan.”



No comments:

Post a Comment