Salam Ukhwah

Harapanku ;
"...berharap agar sayapku boleh pergi jauh sehingga aku jumpa apa yang terbaik untukku dan agamaku..."

Thursday, February 3, 2011

Ibnu Khaldun - Tokoh Sejarawan Ulung


Dalam bidang sosiologi dan falsafah sejarah, Ibn Khaldun adalah nama tokoh yang tidak asing lagi. Nama sebenar Ibn Khaldun ialah Abdul al-Rahman Ibn Mohamad. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dengan gelaran Ibn Khaldun yang diambil sempena nama nenek moyangnya.

Keluarga Ibn Khaldun asal usulnya ialah daripada Yemenite, Arab, tetapi kemudiannya berhijrah ke Tunisia. Beliau dilahirkan pada 1332, di mana beliau mendapat pendidikan awal di sana.

Minatnya yang amat mendalam dalam ilmu pengetahuan membawanya berhijrah ke Fez. Ketika di sana, berlaku pergolakan politik yang menjejaskan kerjaya Ibn Khaldun. Tempoh pergolakan ini termasuklah masa pelarian Ibn Khaldun selama tiga tahun di sebuah perkampungan kecil yang dinamakan Qalat Ibn Salama di Algeria.

Tempoh pelarian ini memberikan peluang kepada Ibn Khaldun untuk menulis Muqaddimah iaitu volum pertama sejarah dunia yang memberikan perubahan penting dalam hidup Ibn Khaldun. Muqaddimah telah berjaya meletakkan Ibn Khaldun sebaris dengan ahli sejarah, siosiologi dan ahli falsafah lain yang terkemuka.

Bagaimanapun selepas Muqaddimah ditulis, kerjaya Ibn Khaldun masih belum mantap. Ibn Khaldun memilih Mesir sebagai tempat tinggalnya dan berada di sana selama 24 tahun. Di Mesir, Ibn Khaldun dihormati dan termahsyur. Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Hakim dan memberi syarahan di Universiti Al-Azhar.

Sumbangan Ibn Khaldun dalam dunia akademik Islam sebenarnya ialah dalam bidang falsafah sejarah dan sosiologi. Penulisan beliau tertumpu kepada sejarah dunia dan juga menganalisis peristiwa-peristiwa sejarah. Tulisannya yang dikenali sebagai Muqaddimah atau Prolegomena adalah berasaskan kepada pendekatan unik Ibn Khaldun. Tulisan itu telah menjadi 'ibu' kepada kesusasteraan falsafah sejarah dan sosiologi. Dalam tulisannya itu, Ibn Khaldun membincangkan mengenai pengenalpastian bagaimana faktor psikologi, ekonomi, alam sekitar dan sosial menyumbang kepada peningkatan tamadun manusia dan juga sejarah semasa.

Ibn Khaldun secara terperinci menganalisis hubungan dinamik kumpulan manusia dan menunjukkan bagaimana perasaan perkumpulan iaitu al-Asabiyya, telah berjaya meningkatkan tamadun dan juga kuasa politik manusia. Ibn Khaldun juga mengenal pasti pengulangan yang hampir sama mengenai kebangkitan dan kejatuhan tamadun manusia dan juga mengenal pasti faktor-faktor penyumbang.

Satu ciri istimewa Ibn Khaldun berbanding ahli sejarah dan falsafah lain ialah dari segi memberi intepretasi kepada sejarah yang sebahagian besarnya hanya memberi tumpuan dalam konteks politik. Bagaimanapun, Ibn Khaldun memberi penekanan kepada faktor persekitaran, sosiologi, psikologi dan ekonomi.

Pendekatan Ibn Khaldun ini adalah satu revolusi baru dalam sains sejarah dan juga menjadi asas kepada ilmu sosiologi. Selain Muqadimmah, Ibn Khaldun juga menulis beberapa lagi siri buku sejarah seperti Kitab al-I`bar iaitu mengenai sejarah Arab, pemimpin kontemprorari Islam, Eropah, sejarah purba kala Arab, Yahudi, Greek, Roman, Parsi dan sebagainya.

Siri penulisan terakhir yang sebahagian besarnya mempunyai kejadian-kejadian yang berkaitan dengan hidupnya dikenali sebagai Al-Tasrif. Tulisan ini juga disampaikan dalam bentuk saintifik dan juga sebenarnya memperkenalkan gaya penulisan analitikal autobiografi. Ibn Khaldun juga menulis buku Matematik yang tidak lagi wujud kini.

Kebijaksanaan Ibn Khaldun mengenai subjek sejarah, falsafah sejarah, sosiologi, sains politik dan juga pendidikan kekal agung sepanjang hidupnya. Malah, buku-bukunya juga telah diterjemahkan kepada banyak bahasa sama ada di timur dan barat. Hasil pemikiran Ibn Khaldun menerusi buku-bukunya itu banyak menyumbang kepada perkembangan ilmu-ilmu ini di merata tempat.

Seorang ahli akademik tersohor, Prof. Gum Ploughs dan Kolosio berkata, penulisan Ibn Khaldun adalah setaraf dengan tulisan The Prince oleh Machiavelli yang ditulis sekurun selepas itu.





No comments:

Post a Comment